MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
(Now You See, Now You Don't ~ MGG Pillai)
Kerajaan campuran Barisan Nasional yang dianggotai juga oleh UMNO, MCA dan MIC semakin
galak mendedahkan penyakit yang melanda pemerintahan mereka dalam pelbagai cara
sejak memegang tampuk kuasa pada 1955. Keangkuhan kuasa disebabkan tempoh kuasa yang lama
bukan sahaja oleh kerajaan campuran itu malahan juga oleh Perdana Menteri dan juga para
pemimpin parti, adalah penyebab utama yang menggugat masa depan mereka. Tidak ada seorang
pemimpin pun yang bercakap mengenai parti yang mereka pimpin kerana keutamaan adalah
tertumpu kepada kesinambungan kuasa mereka dalam jawatan yang ada.
Di setiap parti
tertentu, para presiden parti itu tidak bertanggungjawab kepada sesiapa dan mereka
berlagak laksana mereka berada dalam satu kolam seperti juga seorang Perdana Menteri
yang sedang berada dalam satu tasik. Mereka tidak mengindahkan sebarang tentangan dan
berkeras dengan kuasa di tangan untuk terus memimpin. Begitulah keadaannya sehinggakan
satu hari nanti mereka terpaksa ditarik keluar secara diheret kakinya dulu. Sejak satu
minggu yang lalu, kita nampak akan suasana janggal di mana UMNO melalak-melolong betapa KeADILan
telah memecahkan perpaduan orang Melayu dengan mengemukakan calon Melayu di kawasan
pilihanraya Teluk Kemang. MIC telah memenangi kawasan ini sebanyak empat kali daripada
lima pengundian sejak 1959, SEDANGKAN 45 PERATUS PENGUNDI DI KAWASAN INI ADALAH
ORANG MELAYU.
Kemudian tercetus pula krisis MCA yang merupakan satu pergolakan
kecil sahaja. Inilah yang berlaku apabila presiden parti itu telah diasak ke satu sudut
dan meletakkan jawatannya sebagai menteri pengangkutan. Tetapi dalam secara spontan pula
dia cuba mengajukan pelbagai alasan kenapa dia tidak sepatutnya meletakkan jawatan itu.
Kini dia sudah pun berlepas ke luar negara untuk bercuti di atas desakan perdana menteri.
Di akhir minggu pula MIC telah menganjurkan persidangan tahunan parti yang seperti
biasa lebih berbentuk retorik daripada aksi yang dapat memperbaiki keadaan masyarakat
India. Sepatutnya mereka menggerakkan masyarakat mereka menghadapi cabaran
zaman komputer kerana masyarakat yang terlalu lama bergantung kepada pelita minyak tanah
dan keadaan pendidikan yang rendah memang amat memerlukan perencanaan itu.
Demikianlah
apa yang terjadi. Tidak ada pemimpin yang sanggup bervisi jauh dan mengongsinya bersama
dengan ahli komponen parti BN yang lain. Bahkan juga dengan pemimpin parti pembangkang
yang lain yang tidak juga mempunyai perancangan yang lebih daripada mengekalkan kuasa
mereka dan para kroni dan jongos. Para pemimpin Barisan Nasional memang sudah lama
memekakkan telinga terhadap kritikan yang datang daripada luar, samada dari rakyat
negara ini ataupun dari pemimpin negara asing. Kini mereka terpaksa membuka telinga
kepada kritikan yang datang dari dalam pula.
Cara ketua ulung UMNO cuba memusnahkan
seorang Insan Yang Mesti Dimusnahkan Dengan Cara Apa Jua, telah membibitkan satu percikan
bunga api yang akhirny a menggoncangkan kedudukannya walaupun keputusan pemilu November
1999 dulu memberikannya kemenangan yang selesa. Persidangan Tahunan UMNO yang baru
berlalu telah memberikan amaran yang keras kepadanya, betapa tempoh luputnya sudah pun
tiba. Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik sedang menghadapi tekanan besar
terhadap kepimpinannya disebabkan keangkuhan dan kemerosotan sokongan terhadapnya. Namun
dia masih merasakan kepimpinannya tidak boleh dipersoalkan. Dato' Sri S Samy Vellu yang
merupakan Presiden MIC telah berjaya memastikan semua orang pilihannya menang jawatan yang
mereka tandingi. Sudah tentu dia akan terus mampu berangan-angan akan masa depan
masyarakat kaum India. Namun masalah kaum India masih di takuk lama. Masih ramai orang
India yang menjadi buroh kasar, seolah-olah mewarisi pekerjaan yang dilakukan oleh datuk
moyang mereka dulu yang berhijrah ke sini untuk meneroka ladang getah dan tebu tanpa punya
peluang untuk menaikkan taraf hidup mereka.
Anak seorang kaum India yang
berpendidikan memang merupakan suatu pengecualian daripada yang sepatutnya. Di Maurititus,
Seychelles, Trinidad, Guyana, Fiji dan Singapura, orang India pernah menjadi presiden,
perdana menteri dalam satu masyarakat di mana kaum India itu telah berjaya merobah nasib
mereka daripada kelas buroh kepada kelas menengah. Mereka berjaya dengan bisnes dan bidang
politik. Di Malaysia, janji manis di bibir akan keindahan masa depan adalah laksana sikap
pemain seruling di Hamlin. Kaum India mengikutkan saja pemimpin mereka secara membabi-buta
dan mempercayai akan munculnya Vahalla untuk menyenangkan mereka.
Tidak ada pun
satu pemikiran bebas, tidak juga sebarang perdebatan yang mampu membincangkan apa yang
diperlukan. Segala bentuk kritik memang tidak digalakkan dan dianggap sebagai sikap
tidak-setia dan belot. Apa yang dikatakan oleh Pemimpin adalah persis satu undang-undang.
Ahli parti mudah dipecat kalau mereka kerap membantah kata-kata pemimpin. Tetapi, tidak
ada pemecatan yang lebih dramatik daripada apa yang telah dilakukan kepada Insan Yang
Mesti Dimusnahkan Dengan Apa Cara Jua. Namun, maksudnya adalah sama saja. Setiap kali
diadakan pengundian parti segala usaha ditumpukan agar semua para juak presiden
parti yang menang. Tidak ada satu parti dalam Barisan Nasional yang mempunyai
barisan pelapis. Tidak juga parti itu dapat mengemukakan pendapat berbeza untuk
diterima-pakai oleh pemimpinnya. Kelunakan jawatan yang dipegang itu telah menyebabkan
budaya bisu sehinggakan tidak ada sesiapa yang sanggup menyanggah pucuk kepimpinan parti,
walaupun ada ketikanya pucuk pimpinan memperlekehkan akar umbi dalam parti.
UMNO
telah kehilangan pelaburannya yang berharga berbilion (bukan juta) ringgit. MCA pula telah
melesapkan hak pengikutnya dalam satu skandal membabitkan skim pengutipan
deposit ahli-ahli. Begitu juga dengan MIC yang mengalami skandal membabitkan Maika
Holdings. Mereka telah memberi penekanan kepada pemikiran para pemimpin mereka sahaja
tanpa memikirkan kepentingan parti ataupun negara. Hanya dua parti politik yang
sengaja mengelakkan cara memperagungkan kepimpinan merka: PAS dan PRM. PAS memang
lama sudah merancang apa yang diperlukannya. Kerana itu ia merupakan musuh ketat UMNO
dalam usaha memenangi hati masyarakat Melayu.
UMNO telah berbuat silap dengan
mengganyang PAS berdasarkan sudut keIslamannya dan bukan berdasarkan pemikiran
pan-Malaysian. Kini UMNO terpaksa meraih sokongan berasaskan keIslamannya pula sedangkan
PAS semakin jauh dengan pendiriannya terhadap fahaman sekular. PRM yang satu ketika
dulu merupakan parti sosialis kini mula berubah mengikut cara 'Green Party' (seperti mana
yang dilakukan oleh parti yang berhaluan serupa di Eropah -Penterjemah). Ia mampu menarik
minat pengundi muda menjadi ahli dan menganggotai barisan kepimpinannya. Semua parti yang
lain baik dalam kerajaan ataupun luarnya, tidak mempunyai dasar yang jelas selain daripada
menentukan pengekalan kuasa pemimpinnya sahaja.
Suasana politik minggu yang berlalu
memang menggambarkan betapa tenatnya keadaan politik di Malaysia. Seperti juga Congress
Parti di India dan Koumintang Parti di Taiwan, UMNO adalah laksana satu pokok tua yang
mempunyai tanah gersang di pangkalnya. Saat-saat nazak UMNO akan mengikut cara bagaimana
kedua-dua parti itu pupus. Ini tidak akan menjejaskan suasana politik itu sendiri.
Negara dan parti politik yang mampu memperlekehkan masa depan pasti akan tumbang di
pinggir jalan jua. Sejarah adalah sebaik-baik guru dalam hal ini. Sejarah kepartian
di Malaysia tidak pun memberi banyak skop yang memberangsangkan terhadap masa depan negara
ini. Lainlah kalau keadaan yang menyedihkan ini dapat diperbaiki. Tetapi, tidak semudah
itu untuk membetulkan keadaan.
Seorang brigadier jeneral berbangsa India yang telah
bersara sedang mengendalikan satu kumpulan pemikir (think-tank) untuk menyelidik akan hal
ehwal menyangkuti bahan nuklear. Dia telah memberitahu saya bagaimana laporan kajian itu
dihantar kepada kerajaan dan juga kepada setiap parti politik perdana di negara ini. Di
negara ini, bukannya mudah menjemput pemimpin parti pembangkang kerana ia akan mengejutkan
pihak tertentu. Kalau dilaksanakan pun ia mesti diadakan di satu majlis tertutup. Tetapi,
kumpulan pemikir di Malaysia adalah bertujuan menyatakan apa yang sememangnya dimaklumi
untuk membolehkan pihak kerajaan mempunyai lapan versi pendapat yang berbeza membincangkan
dasar impian seorang Perdana Menteri. Terpulanglah kepada kerajaan untuk menerima pendapat
mereka walaupun ada ketikanya pendapat itu didapati tidak bersesuaian.
Apa
yang berlaku kepada UMNO, MCA dan MIC adalah satu amaran awal akan apa yang tersorok di
masa depan. Para pemimpin boleh membincangkan perkara ini di kalangan mereka. Tetapi
bolehkah mereka berjaya kalau dan apabila akar umbi sudah pun bergolak? Contoh apa yang
berlaku dalam UMNO masih menunggukan tindakan-ulangan daripada akar umbi MCA dan MIC jua.
Diterjemahkan
oleh -MT-
30.5.2000
|